Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Kamila Ghazali berkata, kerjasama itu melibatkan perkongsian ilmu antara kedua-dua universiti tersebut selain meningkatkan kualiti staf dan pelajar berikutan SJTUSM adalah antara universiti perubatan terbaik di china.

“Hospital Renji adalah tempat pengajaran bagi SJTUSM dan kejayaan awal kerjasama PPUM dengan hospital itu dalam pembedahan pemindahan hati kanak-kanak pertama di sini akan membuka ruang kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik bekerjasama dalam semua cabang perubatan.

“Melalui kerjasama ini akan mempertingkatkan mobiliti dan kualiti pelajar kami dari aspek kemahiran selain penyelidikan dan penerbitan bahan akademik bersama menerusi pelbagai bidang perubatan serta pembedahan,” katanya dalam sidang akhbar di Fakulti Perubatan UM di sini hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu dimeterai antara Dekan Fakulti Perubatan UM, Datuk Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman dengan Canselor Sekolah Perubatan Shanghai Jiao Tong University, Prof. Dr. Guoqiang Chen sambil disaksikan Dr. Kamila dan Naib Presiden Hospital Renji, Prof. Xia Qiang.

Dua kanak-kanak berusia 14 bulan dan 10 tahun berjaya melakukan pemindahan hati di PPUM pada Selasa dan Rabu lalu.

Sementara itu, Dr. Adeeba turut menekankan kepentingan pendermaan organ di negara ini yang dilihat kurang mendapat sambutan masyarakat.

“Kesedaran masyarakat mengenai pendermaan organ masih lagi rendah tetapi bilangan pesakit memerlukan pemindahan organ semakin meningkat jadi, saya ingin menyeru masyarakat untuk menjadi penderma organ dan bantu mereka yang memerlukan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE