Projek yang akan dibina di atas tanah milik kerajaan negeri seluas 18.21 hektar di Bandar Sri Sendayan, dekat sini mendapat kerjasama pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd. me­rangkumi 109 buah rumah teres satu tingkat serta 251 buah teres dua tingkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan PPA1M Plus Khamis lalu memaklumkan, kesemua unit rumah yang bakal dibina itu dikhususkan kepada kakitangan kerajaan yang berkhidmat di negeri ini.

“Rumah ini akan dijual pada harga RM245,000 untuk unit teres satu tingkat yang dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air serta RM340,000 untuk unit rumah teres dua tingkat dengan empat bilik dan dua bilik air.

“Ia dinamakan PPA1M Plus kerana diluluskan secara khas melebihi kadar harga PPA1M iaitu sekitar RM300,000 dengan mengambil kira lokasi strategik serta kemudahan lain yang bakal dinikmati di kawasan ini yang terletak dalam lokasi segi tiga emas Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Perasmian PPA1M Plus di Bandar Sri Sendayan dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Setiausaha Kerajaan nege­ri, Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Mohamad berkata, projek yang diluluskan untuk cadangan pembangunan oleh Unit PPA1M Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 22 November tahun lalu itu dibangunkan bersebelahan de­ngan Pangkalan Udara (PU) Senda­yan sekali gus menjadikan kawasan itu seba­gai bandar satelit kepada Kuala Lumpur.

Purata harga rumah di kawasan persekitaran kawasan berkenaan telah melebihi RM400,000 bagi rumah teres satu tingkat manakala RM600,000 bagi rumah teres dua tingkat.

Tidak seperti projek PPA1M lain yang boleh dimohon oleh semua penjawat awam di seluruh Malaysia, projek itu diberi keutamaan kepada penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini.

Bagi menjayakan projek pertama seumpamanya di negara ini, kira-kira RM17 juta telah diperuntukkan oleh Unit PPA1M JPM sebagai dana mudahcara bagi projek ini sekali gus merupakan antara dana terbesar yang pernah diperuntukkan oleh unit berkenaan.

“PPA1M Plus berbeza de­ngan pembangunan perumahan PPA1M lain kerana dibangunkan dengan formula satu ekar (0.40 hektar) dengan lapan unit rumah sahaja bagi memberi keselesaan kepada bakal pembeli.

“Selain itu jalan raya empat lorong membabitkan dua hala juga akan disediakan bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat,” katanya.

Mohamad memaklumkan, penentuan pemilikan PPA1M Plus adalah menerusi kaedah cabutan undi iaitu sama se­perti PPA1M yang lain.

Bakal pembeli juga bakal akan menikmati keah­lian percuma dan boleh menggunakan pelbagai kemudahan yang terdapat di d’Tempat Country Club di Bandar Sri Sendayan.