Poster berkenaan mula dimuat naik dalam laman Facebook Perak the Yob hari ini.

Poster berkenaan menggunakan tulisan Jawi sepenuhnya mengenai perlawanan Piala Malaysia di antara Perak dan Pulau Pinang di Stadium Perak di sini malam esok.

Turut tertera pada poster perlawanan tersebut tulisan Jawi ' Jangan lupa malam esok di Stadium Perak, Ipoh Perak menentang Pulau Pinang. Penuhkan stadium yob yong sekalian. Kejor Yob Kejor'.

Rata-rata netizen memuji penggunaan tulisan Jawi pada poster tersebut sebagai usaha memartabatkan tulisan Jawi dan ia wajar diteruskan.

Malah ada pemilik akaun Facebook yang memberikan komen dalam tulisan Jawi.

Penyokong mengalu-alukan penggunaan tulisan Jawi pada poster berkenaan yang secara tidak langsung membantu mereka yang sudah 'berkarat' Jawi untuk belajar kembali tulisan Jawi.

Dalam pada itu terdapat juga peminat pasukan bola sepak bukan Melayu yang tidak setuju dengan penggunaan tulisan Jawi kerana mereka tidak boleh membaca dalam tulisan Jawi.

"Jangan libatkan sukan dengan agama. Saya kecewa dengan mentaliti macam ini " komen seorang penyokong Perak.

Namun secara keseluruhan penyokong memuji usaha Perak the Yob dan mempertahankan bahawa ia bukan rasis tapi memartabatkan tulisan nenek moyang bangsa Melayu. - UTUSAN ONLINE