Jika dahulu ia melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kali ini Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pula menerima kritikan serupa.

Ini gara-gara tindakannya atas kapasiti sebagai Timbalan Menteri Pendidikan memuat naik satu poster berkenaan inisiatif Kementerian Pendidikan bersama keterangan dalam bahasa Mandarin.

Poster tersebut dipercayai berkenaan penubuhan Tabung Khas 2019 oleh Kementerian Pendidikan untuk sekolah menengah persendirian Cina (SMPC).

Walaupun turut memasukkan sedikit keterangan dalam bahasa Melayu, sebahagian warganet melihat ia sebagai cubaan untuk menyembunyikan maklumat kerana ia bukanlah terjemahan penuh keterangan bahasa Mandarin tersebut.

Malah, keterangan bahasa Melayu itu juga hanya dimasukkan selepas warganet datang mengecam, iaitu kira-kira pada pukul 11 pagi tadi sedangkan kenyataan itu dibuat sepenuhnya dalam bahasa Mandarin pada Jumaat lalu.

Keterangan

TANGKAP LAYAR kenyataan asal Teo Nie Ching dalam bahasa Mandarin pada Jumaat lalu yang disunting dengan memasukkan sedikit keterangan dalam bahasa Melayu selepas dikecam warganet. - UTUSAN ONLINE

Seorang pengguna Facebook, Abdul Rahim Hilmi Zakariya turut menanda akaun rasmi Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan mempersoalkan kenyataan bahasa Melayu itu kerana tidak memasukkan maklumat mengenai pemberian cek berjumlah 2 juta yuan (RM1.2 juta) kepada New Era University College.

“Apa benda ni Tuan (Dr.) Maszlee Malik? Yang bahasa Melayu lain, yang bahasa Cina cerita benda lain. New Era University College tu apa istimewanya?” soalnya sambil memasukkan terjemahan bebas keterangan bahasa Mandarin itu yang dibuat dengan bantuan aplikasi Google.

Presiden Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar juga membawa isu itu kepada perhatian Dr. Maszlee dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui ciapannya di Twitter.

“YB @maszlee, tidak wajar kementerian menggunakan bahasa Mandarin dalam mesej rasmi kementerian. YB @TeoNieChing bertanggungjawab memastikan semua sekolah-sekolah Cina memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Usaha DBP dengan Dong Zong akan sia-sia. @chedetofficial,” ciapnya di Twitter, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE