Penganjuran festival dengan tema ‘Keindahan Seni Muzik dan Vokal Islam’ itu dijangka menjadi medan memperluaskan perspektif masyarakat berhubung seni muzik dan vokal dalam dunia Islam.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, festival yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail esok itu menyasarkan kedatangan 350,000 pengunjung dari serata negara.

Menurut beliau, festival selama empat hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu akan menampilkan 135 aktiviti merangkumi pameran aplikasi realiti imbuhan (AR), konsert, ekspo buku Islamik, festival kanak-kanak serta alunan azan berlainan maqam.

“Menerusi festival ini, kita hendak kongsi dengan masyarat tentang perbezaan seni muzik Islam mengikut kawasan-kawasan termasuk di Eropah, bagaimana tanggapan mereka.

“Kita mahu masyarakat mempelajari perspektif-perspektif baharu tentang kesenian dan kebudayaan Islam “ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat media berhubung PIIACUF 2019 di sini hari ini.

Jelas Aminuddin, penyertaan dari antarabangsa merangkumi Turki, Uzbekistan, Maghribi, Iran, Bangladesh Thailand dan Korea Selatan manakala penyertaan domestik melibatkan Johor, Kelantan, Terengganu dan Melaka.

“Pada hari Sabtu, Konsert PIIACUF 2019 akan diadakan menampilkan artis-artis termasuk Datuk Ramli Sarip, InTeam, UNIC, Raihan dan Zul Handy Black,” katanya. - UTUSAN ONLINE