Tinjauan Utusan Malaysia di hadapan sebuah kafe terkenal itu mendapati tiada lagi pelancong asing yang duduk sambil menjual cenderahati tanpa permit di kawasan itu.

Malah, beberapa anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga dilihat kerap melakukan pemantauan bermotosikal di kawasan berkenaan bagi memastikan aktiviti perniagaan itu tidak berlaku.

Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin berkata, pihaknya telah mengarahkan anggota penguat kuasa untuk menghentikan aktiviti jualan oleh pelancong asing tersebut selain tidak berkumpul di lokasi berkenaan.

Menurutnya, kumpulan pelancong itu yang datang ke negara ini sebagai pengembara beg galas menggunakan visa pelancong namun telah menyalahi undang-undang negara apabila didapati menjalankan perniagaan.

“Kita minta mereka beredar dengan cara berhemah dan kumpulan ini memberikan kerjasama.

“Tindakan akan diambil jika mereka masih berdegil termasuk mengeluarkan notis, kompaun atau boleh menyita barangan yang mereka jual,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE