Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, pekung kepincangan Pakatan Harapan semakin hari semakin terdedah bermula dengan episod menjatuhkan Menteri Besar diiikuti oleh dakwaan rogol dan rasuah melibatkan dua exco kerajaan negeri.

Namun ironinya, dakwa Razman, Pakatan Harapan yang dikatakan memperjuangkan 'rule of law' bersifat 'double standard' melalui campur tangan terhadap perundangan selain dilihat seakan-akan saling menjatuhkan sesama sendiri atas kepentingan peribadi dalam beberapa isu.

"Sudah lebih setahun mentadbir Perak, tiada sebarang perubahan ketara yang berlaku dan tidak jelas perancangan dibuat untuk masa depan negeri.

"Semua ini adalah pengkhianatan dan kecurangan akibat mengabaikan amanah di mana hanya rakyat yang boleh menghentikannya melalui kuasa undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi menatijahkan keputusan lebih terjamin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razman berkata, Pas Perak sedia menyumbang idea penyelesaian terhadap permasalahan yang berlaku atas dasar tanggungjawab demi pembangunan negeri.

Beliau berkata, pihaknya yakin agenda penyatuan ummah dapat meningkatkan kesejahteraan serta pembangunan negeri, malahan melalui pembudayaan politik matang, ia memberi lebih kesan positif terhadap rakyat.

"Sikap ini berbeza dengan Pakatan Harapan yang berjanji melalui manifesto tetapi tidak dilunaskan. Malahan, tindakan mereka kini seolah-olah mencabar kontrak sosial yang telah terbina seawal negara mencapai kemerdekaan," katanya. - UTUSAN ONLINE