Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sejak memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) parti yang mentadbir negara itu telah dirundum berbagai-bagai masalah bukan sahaja masalah dalaman di dalam parti, bahkan sesama rakan sekutunya.

Katanya, hal itu jelas dilihat dan diperhatikan rakyat melalui maklumat-maklumat di dalam akhbar, media massa, media sosial serta semua saluran berita.

"Parti yang telah bergabung menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dengan satu hasrat iaitu untuk merampas kuasa nampaknya tidak tahu apa yang mahu dibuat apabila sudah mendapat kuasa.

"Tidak ada hala tuju mereka untuk terus menyambung pembangunan dan kerancakan ekonomi negara yang telah dijana oleh kerajaan BN dulu. Daripada hampir mencecah enam peratus pembangunan kita pada tahun 2017, tahun ini sudah tiga kali ramalan pertumbuhan ekonomi ditukar oleh badan dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Komuniti Kuala Berang di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Rozi Mamat; Ketua Pergerakan Pemuda dan Wanita UMNO negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera dan Toh Puan Zaitun Mat Amin di samping wakil Pas, Maliaman Kassim.

Mohamad berkata, UMNO bukan parti yang bakal dikuburkan mahu pun ditalkinkan tidak lama sekali gus menegaskan yang UMNO akan bangkit semula dan bangun untuk PRU-15.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang resipi atau formula khas untuk parti itu bangkit melainkan dengan melupakan segala persengketaan, salah faham dan perbalahan dalaman sesama sendiri.

"Untuk memperkasakan parti senang sahaja iaitu jangan kita bersengketa, selisih faham dan berbalah antara satu sama lain, baharulah UMNO ini kuat. Kita pernah menjadi parti yang dulunya amat ditakuti semua orang kerana kita bersatu, bersetia dan berkhidmat demi bangsa, agama dan negara.

"Kalau kita seorang pejuang dan tahu erti perjuangan, kita tidak akan bergaduh. Apabila sesuatu persengketaan berlaku, maka ia bakal melemahkan mana-mana organisasi sebab itu saya minta UMNO elakkan konflik terutama konflik dalaman," katanya. - UTUSAN ONLINE