Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kertas siasatan tersebut dibuka berikutan laporan polis yang dibuat oleh Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean dan exco berkenaan, Abdul Yunus Jamhari.

Katanya, siasatan bagi kedua-dua kes berkenaan dijalankan setelah pihaknya menerima OTI (Perintah Untuk Menyiasat) daripada Pengarah Pendakwaan Negeri.

“Siasatan terhadap dakwaan Yong Kean itu dibuat di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi manakala laporan polis oleh Abdul Yunus pula disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

“Kita telah pun memperoleh OTi semalam dan siasatan telah dilakukan dengan mengambil percakapan kedua-dua saksi,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Yong Kean pada Sabtu lalu membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang ahli exco kerajaan negeri telah membocorkan kertas minit mesyuarat exco kerajaan negeri yang bertujuan mendapatkan komisyen daripada dua buah syarikat pertanian.

Menurut Yong Kean, perkara itu berlaku selepas ahli exco berkenaan bersetuju untuk menyokong permohonan pemilikan tanah pertanian seluas lebih 36 hektar kepada dua buah syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Yunus yang dikaitkan sebagai exco terlibat menafikan tuduhan palsu tersebut dan menyifatkan ia bertujuan untuk menjatuhkannya sekali gus menggugat kestabilan kerajaan.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau itu di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada Ahad lalu. - UTUSAN ONLINE