Malah, Perdana Menteri menyifatkan kedua-dua pemimpin itu telah melakukan yang terbaik sepanjang menjalankan tanggungjawab sebagai menteri sehingga kini.

"Tiada 'kuliah' (diberikan), hanya bercakap sahaja, mereka telah melakukan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis "Special Night With Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), di sini hari ini.

Baru-baru ini, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin menasihati Waytha Moorthy dan Maszlee agar lebih berhati-hati dalam setiap tindakan dan mendengar nasihat Dr. Mahathir.

Sementara itu, jelas Dr. Mahathir masih terlalu awal untuk menentukan siapakah calon yang bakal mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

"Kita belum tentukan lagi, awal lagi tapi kami akan pilih seorang, kami mempunyai ramai calon," katanya.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan kemenangan Datuk C. Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah.

Oleh itu, Hakim Datuk Azizah Nawawi memerintahkan agar PRK diadakan bagi kerusi parlimen itu. - UTUSAN ONLINE