Menariknya, ketika Dr. Mahathir menanyakan beberapa soalan kepada Sophia, robot buatan Hong Kong itu bukan sekadar menjawab malah sempat melakar lukisan gambar Perdana Menteri.

Antara beberapa soalan yang ditanyakan Dr. Mahathir adalah apakah yang diketahui mengenai beliau ketika menjadi Perdana Menteri keempat dan perbezaan antara Sophia dengan robot-robot lain.

“Sudah tentu saya tahu, anda mengangkat sumpah pada 16 Julai 1981 iaitu kira-kira 13,881 hari lalu. Saya berani bertaruh penonton sedang mengira sekarang.

“Tidak semua robot bersantai dengan Perdana Menteri Malaysia dan saya direka dengan teknologi berkomunikasi dengan orang ramai dan mempunyai perasaan,” kata Sophia ketika menjawab soalan Dr. Mahathir.

Sementara itu, ketika ditanya pemberita mengenai reaksi berkomunikasi dengan robot tersebut, Dr. Mahathir berkata, ia ada pengalaman yang menakjubkan apabila dapat melihat sesuatu yang hampir sama dengan kejadian asal.

“Muka dia, mata dia..bila dia respons dia bergerak, tengok, saya takut. Takut tengah-tengah malam jumpa dia, saya lari,” katanya.

Sidang Kemuncak Melangkau Paradigma: Mendorong Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) anjuran Serba Dinamik Holdings Berhad mempamerkan teknologi terkini yang menghimpunkan idea utama pendigitalan dan pertukaran data. - UTUSAN ONLINE