Dr. Mahathir berkata, kejayaan yang memberangsangkan itu dapat dilihat melalui salah satu pasukan Malaysia yang merangkul jersi kuning sebagai juara keseluruhan LTdL 2019.

“Pada mulanya pasukan kita tiada langsung tetapi lama-kelamaan kita dapat melatih pasukan-pasukan kita dan sekarang mereka berjaya dalam perlumbaan ini (termasuk) hari ini, kita melihat ada pasukan Malaysia yang dapat jersi kuning.

“Hal ini bermakna kebolehan sudah pun ada kepada rakyat Malaysia dan kita berharap sukan berbasikal akan diikuti oleh seluruh rakyat untuk turun dalam aktiviti berbasikal,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang LTdL 2019 di Pekan Kuah, hari ini.

Dalam perkembangan sama, kata Dr. Mahathir, Langkawi yang dijadikan pulau pelancongan turut berpotensi menjadi pusat riadah dalam aktiviti berbasikal termasuk mampu melatih pelumba tempatan menjadi juara dunia kelak.

Malah, selaku Ahli Parlimen Langkawi, beliau turut memberi sokongan supaya pulau itu menjadi peringkat pembukaan LTdL bagi edisi-edisi seterusnya dengan komitmen pihak yang terlibat dalam perlumbaan berprestij itu.

Berkenaan penganjuran LTdL 2019 yang dikatakan kurang seri ekoran penarikan diri beberapa pasukan handalan dunia, Dr. Mahathir berharap Kementerian Belia dan Sukan dapat menetapkan tarikh yang sesuai agar tidak bertindih dengan acara-acara lain.

“(Tetapi) Saya nampak LTdL hidup semula (kerana) dahulu ia menjadi malap sedikit sehingga hari perlumbaan turut dikurangkan, namun kali ini sepanjang lapan hari perlumbaan, ramai orang keluar menonton.

“Perlumbaan basikal ini lebih menguntungkan kerana bukan hanya berlumba di satu tempat tetapi di seluruh Malaysia termasuk liputan meluas yang memberi publisiti kepada Malaysia dengan cukup baik,” katanya. -UTUSAN ONLINE