Pengurus MPC negeri, Nik Faizal Nik Ahmad berkata, pensijilan itu akan membantu sektor PKS meningkatkan kualiti dan produktiviti secara optimum.

Malah beliau berkata, MPC turut memperkenalkan model pendekatan baharu untuk pensijilan Amalan Per­sekitaran Berkualiti QE/5S untuk menarik lebih ramai penyertaan daripada golongan tersebut.

“Setakat ini kesedaran daripada sektor PKS terhadap pensijilan ini agak kurang berbanding sektor awam kerana mereka masih takut dan tidak begitu memahami.

“Pensijilan ini sebenarnya adalah asas utama dalam membantu memudahkan PKS untuk mendapatkan pengiktirafan lain seperti sijil halal mahupun persediaan untuk pasaran produk ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Seminar Peningkatan Produktiviti Tempat Kerja melalui Program Persijilan di Dewan Kacip Fatimah, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.

Yang turut hadir,Pegawai Perunding MPC, Marziah Ahmad serta dua panel jemputan iaitu Pengurus Cawangan Farmasi Ehsan Sdn. Bhd., Ismawati Ismail dan Timbalan Ketua Eksekutif Hal Ehwal Pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismai Petra (Kias), Dr. Mohd. Azhar Abdullah.

Seminar berkenaan telah disertai oleh lebih 100 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta. - UTUSAN ONLINE