Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya berpandangan, adalah lebih baik masalah tersebut diselesaikan secara baik dan kembali fokus untuk membangun dan menyelamatkan negara.

“Apa yang penting bagi kita adalah menunaikan tanggungjawab sebagai kerajaan. Jadi saya harap PKR dapat selesaikan masalah dalaman secara baik,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan Bersatu negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut dalaman PKR khususnya membabitkan pertembungan secara terbuka Anwar dan Mohamed Azmin yang bagaikan tiada kesudahannya.

Pertelagahan itu dilihat mula meletus selepas Anwar meminta Mohamed Azmin meletak jawatan jika video seks sejenis yang dikaitkan dengannya itu benar dan kemudian dibalas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu agar Anwar bermuhasabah diri terlebih dahulu.

Berikutan itu juga penyokong dan pemimpin daripada dua kem itu terus berbalas kenyataan sehingga mengundang keresahan rakyat.

Sementara itu, Marzuki juga menyeru agar mana-mana pihak tidak terlalu mendesak dalam isu peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Kita sudah tahu ada perjanjian untuk Dr. Mahathir bagi laluan kepada Anwar untuk jadi Perdana Menteri kelapan. Jadi tunggulah tiba masanya nanti.

“Tidak perlu kita mendesak dalam soal ini kerana apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah soal negara dan rakyat. Sampai waktu nanti ambillah jawatan itu (Perdana Menteri).

“Kalau asyik mendesak, nampak seperti kita tidak sehaluan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Luar.- UTUSAN ONLINE