Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, program ‘retreat’ dijangka akan dihadiri oleh semua pimpinan parti itu dan dari situ perbincangan di antara mereka perlu diadakan.

“Bagi saya parti boleh berbincang tentang perkara ini semasa kita adakan pemukiman pada yang bermula esok hari, di situ kita akan dapat maklumat yang lebih rasmi, pada waktu ini cuma berdasarkan laporan media.

“Saya rasa mungkin ia masih pramatang untuk buat apa-apa keputusan, apapun perbincangan di antara pimpinan perlu diadakan mengambil kira pandangan-pandangan termasuk yang terbaru. Insya-Allah, ‘retreat’ ini akan di hadiri semua,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini mengesahkan video intim melibatkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang didakwa seorang menteri adalah tulen.

Sementara itu, Fahmi mengakui PKR kini berada dalam keadaan mencabar namun beliau mencabar parti itu mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi namun perlu lebih berwaspada.

“Isunya adalah PKR perlu berwaspada dan sentiasa memahami bahawa ada pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk mengambil kesempatan untuk meretakkan parti paling besar dalam Pakatan Harapan.

“Pada waktu ini apa tindakan pun, PKR akan lakukan berlandaskan undang-undang dan kita akan tunggu laporan daripada pihak berkuasa sebelum apa-apa tindakan lanjut,” katanya.- UTUSAN ONLINE