Ketua Pengarah LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pembayar cukai tidak perlu khuatir sekiranya pendapatan yang diterima telah dilapor atau dikenakan cukai dan kemudiannya disalurkan ke luar negara, kerana segalanya adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

Beliau berkata, PKPS mengalu-alukan apa juga pengakuan, jika ada, yang ingin dibuat oleh pembayar cukai berhubung pendapatan yang berpunca dari dalam Malaysia.

"Saya juga ingin memaklumkan pembayar cukai yang telah mengambil bahagian dalam PKPS bagi tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun taksiran sebelumnya, pihak LHDNM tidak akan menjalankan semakan lanjut terhadap tahun-tahun taksiran yang berkenaan.

"Sehubungan itu, jika pembayar cukai tidak mempunyai akaun bank luar negara atau apa-apa pengakuan, tiada keperluan untuk hadir ke pejabat LHDN.

"Saya ingin juga mengambil kesempatan ini menjelaskan bahawa pihak LHDN tidak mengamalkan tindakan audit atau siasatan yang melibatkan serbuan ke rumah pembayar cukai pada waktu tengah malam," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Sabin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai LHDN yang tidak mematuhi prosedur kerja ditetapkan serta gagal memberikan perkhidmatan secara profesional dan berintegriti.

"Sekiranya ada aduan, ini akan diberikan perhatian yang serius," katanya.

Menurut Sabin lagi, orang ramai boleh mengajukan pertanyaan lanjut dengan menghubungi pejabat LHDN berhampiran atau Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (luar negara); atau

e-mel kepada pengakuansukarela@hasil.gov.my. - UTUSAN ONLINE