Ketua Pengarah LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pembayar cukai tidak perlu khuatir jika pendapatan yang diterima telah dilapor atau dikenakan cukai dan kemudian disalurkan ke luar negara, ke­rana segalanya adalah teratur di sisi undang-undang cukai pendapatan.

SABIN SAMITAH
SABIN SAMITAH

Beliau berkata, PKPS mengalu-alukan apa juga pengakuan, jika ada, yang ingin dibuat oleh pembayar cukai berhubung pendapatan yang ber­punca dari dalam Malaysia.

“Pembayar cukai yang telah mengambil bahagian dalam PKPS bagi tahun taksiran 2017 dan tahun-tahun taksiran sebelumnya, pihak LHDN tidak akan menjalankan semakan lanjut terhadap tahun-tahun taksiran berkenaan.

“Jika pembayar cukai tidak mempunyai akaun bank luar negara atau apa-apa pengakuan, tiada keperluan untuk  hadir ke pejabat LHDN.

“Saya ingin juga mengambil kesempatan ini menjelaskan, LHDN tidak mengamalkan tindakan audit atau siasatan melibatkan serbuan ke rumah pembayar cukai pada waktu tengah malam,” katanya dalam kenya­taan di sini malam semalam.

Sabin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai LHDN yang tidak mematuhi prosedur kerja ditetapkan ser­ta gagal memberi perkhidmatan secara profesional dan berintegriti.

“Sekiranya ada adu­an, ini akan diberi perhatian yang serius,” katanya.

Pertanyaan lanjut boleh dikemukakan dengan menghubungi pejabat LHDN berhampiran atau Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (luar negara); atau e-mel kepada pengakuansukarela@hasil.gov.my.