PKNS FC mendahului tuan rumah 1-0 pada minit ke-14 hasil jaringan pemain import Gabriel Miguel Guerra yang merembat bola dari hantaran lintang Mohamad Qayyum Marjoni Sabil.

Pasukan pelawat yang tewas kepada Terengganu dalam perlawanan pertama, Sabtu lalu mempamerkan permainan bertenaga dengan membuat asakan bertalu-talu ke kubu lawan.

Guerra sekali lagi muncul wira apabila menjaringkan gol kedua PKNS FC pada minit ke-30. Dia yang tidak dikawal meluru dari belakang dan merembat bola yang dihantar oleh Kpah Sean Sherman.

Negeri Sembilan yang mempamerkan aksi kemas meskipun tewas kepada Kedah dalam perlawanan pertama, Sabtu lalu, malam ini kelihatan sukar mengekalkan penguasaan tersebut.

Pasukan itu terlepas sekurang-kurangnya dua peluang gol masing-masing pada minit ke-sembilan dan 44 apabila bola terkena palang gol lawan.

Tuan rumah akhirnya memperoleh gol sagu hati pada minit ke-90 melalui Igor Carneiro Luiz. - UTUSAN ONLINE