Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah berkata, kenyataan berdasarkan pemerhatian awal Alston itu dikhuatiri boleh menjejaskan imej negara kerana tidak mustahil terdapat kekeliruan daripada segi fakta dan data yang digunakan.

“Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang mempertahankan pendirian Malaysia dengan kadar kemiskinan tegar.

“Saya tidak pasti (apakah) ada motif lain daripada penyelidik terbabit, namun kita

berharap mereka profesional mengeluarkan komen dan harus menggunakan penanda aras yang biasa digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kasih Peladang Kedah anjuran Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Masjid Sungai Baru Gunong, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Nafas, Datuk Phaharolrazi Mohd. Zawawi dan Pengurus Besarnya, Ahmad Shaari.

Malaysia menyuarakan rasa kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Alston sebelum ini yang dilaporkan mendakwa negara ini mempunyai ‘kemiskinan yang ketara’ dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15 peratus.

Mengulas lanjut, Amiruddin berharap pihak tertentu tidak mengambil kesempatan daripada isu itu untuk mencerminkan sesuatu yang negatif terhadap negara ini.

“Maka, kita mempertahankan data dan kenyataan yang dikeluarkan Mohamed Azmin, kecuali mereka yang berkaitan dapat membuktikan mana-mana kekurangan dan data yang lain,” katanya.

Terdahulu, Amiruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit menyampaikan sumbangan zakat daripada Nafas berjumlah RM100,000 kepada 500 orang penerima termasuk golongan asnaf bagi meringankan beban perbelanjaan seharian.

“Program ini menunjukkan komitmen Nafas dalam memastikan setiap keuntungan daripada aktiviti perniagaan pertubuhan itu dikongsi semula bagi manfaat ahli peladang serta golongan asnaf setempat,” katanya. -UTUSAN ONLINE