Sejak sebelum penamaan calon pada Sabtu lalu lagi Manogaran sudahpun mengguris hati Orang Asli apabila memberikan perumpamaan berkaitan kuih iaitu ‘Melayu tak beli kuih dari gerai Orang Asli’.

Beliau memberi gambaran betapa pengundi Melayu tidak akan undi calon Orang Asli sebelum Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ramli Mohd. Nor daripada keturunan Orang Asli sebagai calon.

Walaupun Manogaran sudah meminta maaf, ternyata Orang Asli tetap terguris hati kerana perumpamaan itu jelas menghina mereka.

Isu itu berpanjangan apabila Ahli Dewan Negara, Se­nator Bob Manolan Mohamad pula mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan iaitu Tok Batin mungkin kehilangan gaji dan jawatan jika tidak menyokong kerajaan Persekutuan.

Walaupun PH cuba menafikannya, namun Orang Asli tetap menganggap itu satu penghinaan kepada tok-tok batin di negara ini.

Pengerusi Batin Pahang, Norya Abas malah menuntut Bob Manolan meminta maaf dan laporan polis terhadap­nya turut dibuat.

Jadi, menjadi cabaran utama PH dalam kempen kali ini untuk memujuk Orang Asli yang telah terguris dengan tindakan Manogaran serta Bob Manolan.

PH perlu sedar, Orang Asli mewakili 22 peratus daripada keseluruhan 32,048 pe­ngundi di Parlimen Cameron Highlands. Pengundi Melayu pula 34 peratus, Cina 30 peratus dan India 14 peratus.

Selain itu, hari ini tersebar pula gambar seorang wanita yang memakai baju dengan logo PH memberikan wang kepada beberapa pemuda Orang Asli yang didakwa merasuah pengundi.

Ekoran itu timbul desakan supaya pencalonan Manogaran dibatalkan untuk berlaku adil kepada bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands daripada Barisan Nasional (BN), Datuk C. Sivarraajh yang hilang kelayakan bertanding atas tuduhan rasuah.

Isu-isu ini menjadi cabaran kepada sejauh mana elemen politik adil, bersih dan telus yang dilaung-laungkan PH selama ini diamalkan.

Ini juga meliputi sejauh mana kepemimpinan PH sanggup menahan diri daripada menggunakan jentera kerajaan dalam kempennya di Cameron Highlands. Setakat ini tiada kelibat kenderaan-kenderaan agensi kerajaan yang digunakan dalam kempen PH di PRK Cameron Highlands dan diharapkan keadaan itu berkekalan.