Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, di peringkat Pusat, DAP menyerang dan mendesak supaya dihantar balik namun satu pihak lain dalam pakatan sama mempertahankan Zakir.

“Ini cukup jelas menunjukkan kecelaruan dasar dan budaya pentadbiran negara yang tidak sihat,” ujarnya dalam satu kenyataan seperti portal Harakah Daily hari ini.

Tambah Ahmad, Pas Kedah khususnya berpendapat Zakir adalah amanah Allah untuk umat Islam di Malaysia dan merupakan aset amat berharga kepada negara.

Tambahnya, keupayaan dan kebolehan pendakwah itu sewajarnya dihargai serta dimanfaatkan, bukannya disekat atau dinafikan.

“Tokoh tersebut bukanlah punca tercetusnya masalah sebaliknya pemutar belit dan pemberitaan tidak betul berkaitan kenyataannya menjadikan keadaan menjadi tegang,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu Ahmad berkata, Pas Kedah menyokong penuh tindakan Dewan Pemuda Pas negeri itu membuat laporan polis terhadap menteri dan media yang cuba mencetuskan ketegangan agama serta kaum di negara ini.

“Tindakan berkenaan juga sebagai bukti Pas menghormati undang-undang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani isu yang ditimbulkan dengan cara yang baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE