Kesemua penerima terdiri daripada 100 murid di daerah ini, 30 murid di daerah Kuala Nerus dan 200 murid lagi di daerah Dungun.

Setiap seorang akan menerima sumbangan RM400 termasuk baucer bernilai RM300 untuk pembelian menyambut Aidilfitri dan wang tunai RM100 sebagai duit raya.

Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Media Petronas Wilayah Pantai Timur, Zamri Mohamad berkata, sumbangan itu sebagai komitmen melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Katanya, majlis penaympaian sumbangan itu diadakan pada hari ini kepada penerima di daerah ini dan Kuala Nerus, manakala di Dungun pada 28 Mei ini.

“Program ini diharap dapat meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan di samping membantu membangkitkan kegembiraan mereka membuat persediaan menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Panji Alam, DUN Ladang di Lorong Komunting di sini hari ini.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar.

Yang turut hadir, Pengerusi MPKK Panji Alam, Aziz Sidek.

Sebanyak 500 bekas bubur lambuk sumbangan Petronas turut diagihkan kepada orang ramai di Stesen Petronas Pasir Panjang di sini petang ini. - UTUSAN ONLINE