Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa Wan Azizah, Tony serta rakan-rakan dalam pakatan pembangkang mereka perlu diingatkan bahawa petrol yang digunakan untuk kenderaan bukanlah minyak mentah, sebaliknya telah diproses terlebih dahulu.

Menurut kenyataan tersebut, disebabkan itu harga minyak yang telah diproses mungkin berbeza daripada minyak mentah berdasarkan faktor permin­taan dan penawaran global.

Lebih-lebih lagi, kenyataan itu menjelaskan, berdasarkan sistem apungan terkawal yang mula dilaksanakan sejak 1 Disember 2014, Malaysia menggunakan harga purata produk yang telah diproses dan bukannya minyak mentah, untuk bulan sebelumnya bagi menentukan harga runcit bulan depan.

“Mengetahui bahawa negara mengamalkan sistem apungan terkawal, adalah tidak masuk akal pemimpin pembangkang menya­lahkan kerajaan apabila harga petrol meningkat disebabkan oleh kenaikan harga pasaran global.

“Tetapi apabila harga petrol menurun, mereka boleh pula kata penurunan itu disebabkan oleh harga pasaran global dan langsung tidak memberi kredit kepada kerajaan. Perkara ini seolah-olah ‘permainan bulanan’ yang tidak habis-habis dan tidak memenatkan bagi pemimpin pembangkang,” kata kenyataan itu.

Wan Azizah dan Tony mengecam kerajaan dengan mendakwa tiada asas untuk kenaikan harga petrol dan diesel yang berkuat kuasa hari ini memandangkan harga minyak mentah pada Ja­nuari menurun dan pada masa sama nilai ringgit juga tidak selemah bulan sebelumnya.

Dalam pada itu, Pasukan Komunikasi Strategik BN menerusi kenyataan tersebut mengakui bahawa rakyat Malaysia mempunyai sebab untuk mempertikaikan harga RON95 yang meningkat sehingga RM2.30 seliter untuk bulan ini.

Bagaimanapun, menurut ke­nyataan itu, harga minyak di Malaysia masih lagi yang termurah di Asia Tenggara, selain Brunei dan merupakan dalam kalangan 15 negara termurah daripada 180 negara di seluruh dunia.

“Ini adalah luar biasa meman­dangkan Malaysia bukanlah pe­ngeluar dan pengeksport minyak yang besar sekiranya dibandingkan dengan negara-negara lain dalam senarai 15 negara dengan harga runcit petrol termurah.

“Di rantau ASEAN, harga RM2.30 seliter untuk RON95 di Malaysia pada Februari lebih rendah berbanding Indonesia (RM2.73), Thailand (RM4.10), Filipina (RM3.72) dan Singapura (RM6.56),” jelas kenyataan itu.