Seorang pesawah tersebut, Zulkifli Ramli, 42, berkata masalah berpunca daripada sistem saliran yang sering tersumbat pada musim hujan menjadikan kerja mengawal pembiakan haiwan perosak itu sukar dilakukan.

“Kami menggunakan racun yang dituang ke dalam sawah untuk mengawal tikus dan haiwan perosak lain, tapi apabila sistem saliran rosak, air dari bendang tidak dapat mengalir apabila hujan.

“Takungan air yang banyak ini menjadikan racun yang dituang dalam sawah tidak berkesan mengawal tikus dan menyebabkan ia membiak dengan banyak dan menyerang tanaman,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurut beliau, sebelum ini banyak haiwan pemangsa seperti burung hantu yang memakan tikus tersebut, namun kini tiada lagi kerana mati akibat makan tikus yang terkena racun.

Zulkifli berkata, kira-kira 30 hektar sawah di kampung tersebut musnah disebabkan oleh tikus dan haiwan perosak lain seperti Siput Gondang Emas dan burung.

“Saya sendiri turut kerugian kira-kira RM6,000 apabila keseluruhan sawah rosak dan tidak membuahkan hasil,” katanya.

Seorang lagi petani yang turut terjejas, Sharul Sham Ramli, 36, berkata jika masalah itu tidak diselesaikan segera ia mungkin akan merebak ke kawasan yang lebih luas dan melibatkan kerugian lebih besar.

Katanya, pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) perlu bertindak segera dengan membantu membersihkan dan mendalamkan parit di kawasan itu.

“Pihak berkaitan perlu bantu supaya dapat kami buat bendang mengikut jadual seperti orang lain sekali gus mengurangkan risiko di serang haiwan tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahmad Shukri Ishak, 51, berkata masalah tersebut telah dimaklumkan kepada MADA dan LPP untuk tindakan lanjut.

“Saya juga sudah memaklumkan perkara itu kepada Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Dzaher Ahmad untuk membawa masalah ini kepada pihak bertanggungjawab supaya tidak menjejaskan industri padi dan bekalan makanan negara,” katanya. - BERNAMA