Omar Mohammed Mukhtar, 26, merupakan hafiz dari negara paling cantik di dunia itu berkata, misi utamanya untuk tempoh empat hari ini adalah mengunjungi pusat beli-belah dan mencuba pelbagai jenis makanan tradisional Malaysia.

“Menjadi peserta hafazan pada hari pertama bukanlah suatu yang menyeronokkan kerana saya langsung tidak melakukan perkara lain, hanya mengulangi bacaan dan hafazan al-Quran.

“Alhamdulillah, saya dapat mengingati kesemua ayat daripada empat surah yang diberikan oleh juri tadi dan sekarang saya menyerahkan kepada mereka untuk mengadili saya selain berdoa yang terbaik daripada Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menjadi peserta ke lapan dengan ujian bacaan surah al-Baqarah, al-An’am, as Syu’ara dan al-Ahqaf dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61, hari ini.

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 yang bermula semalam bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat diadakan buat julung kalinya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Sementara itu, hafizah Malaysia, Raudah Abdul Razak, 19, berkata, beliau pasrah dengan segala keputusan kelak kerana menyedari tidak dapat melakukan yang terbaik.

Jelas pelajar Tahfiz al-Quran dan Qiraat di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unis­hams), gementar yang melampau menyebabkan beliau sukar untuk mengingati surah al An’am.

“Surah itu bukanlah sukar sangat untuk ingat tapi terlalu gementar menyebabkan saya terus lupa dan tersekat-sekat untuk membacanya tadi.

“Agak sedih kerana sudah tentu telah mengecewakan banyak pihak tapi saya perlu reda dan mendoakan peserta dari Malaysia yang lain untuk menang pertandingan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE