Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, setakat ini pihaknya mendapati kebanyakan pesawah yang belum mendaftar tinggal di Sabah dan Sarawak mengusahakan padi bukit.

“Pada peringkat awal, seramai 220,000 golongan tersebut mendaftar dan kini jumlah yang telah mendaftar sudah mencapai 330,000.

“Sehubungan itu, kita menggalakkan pesawah padi mendaftar supaya kita dapat angka yang sebenarnya bagi menyalurkan bantuan-bantuan di bawah kementerian,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Bantuan Khas Pesawah di Pusat Pertumbuhan Desa di Sungai Korok di sini hari ini.

Majlis pelancaran bantuan itu yang dihadiri kira-kira lebih 10,000 pesawah dari Kedah dan Perlis disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz dan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man

Menurut Ahmad Shabery, pihak kementerian komited dalam mencari jalan keluar bagi menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi termasuk me­ringankan beban golongan sasar tersebut.

“Salah satu bantuan yang diberikan pada petani ialah Bantuan Khas Pesawah RM200 sebulan bagi tempoh tiga bulan berjumlah RM600 sementara menunggu ha­sil tuaian.

“Selain itu, pelbagai insentif diberikan bagi membantu pesawah dengan kaedah pemberian diperincikan bagi memastikan bantuan tersebut sampai ke petani,” jelasnya.

Jelas Ahmad Shabery, langkah kerajaan menaikkan insentif harga padi dari­pada RM248.10 kepada RM300 merupakan insentif baharu berbanding negara pengeluar padi lain yang tidak memberikan insentif seumpamanya kepada pesawah di negara mereka.

“Kita dah bagi sampai RM300 setiap satu tan yang dikeluarkan. Ertinya, kalau mereka dapat keluarkan 10 tan tambahan daripada yang mereka dapat daripada harga (jualan) padi RM1,200, kalau 10 tan mereka dapat RM3,000 ekstra, itu jumlah yang banyak.

“Ada kalanya kita perlu (berikan) insentif atas usaha, kerajinan (mereka), tetapi ada kalanya kita kena fikirkan perlu juga dalam kalangan pengusaha padi ada safety net (jaringan keselamatan).

“Safety net adalah apabila kea­daan tidak menyebelahi mereka, contohnya dia dah cuba (usahakan tanaman padi), tetapi datang penyakit, banjir, kemungkinan kemarau, tiba-tiba kena padi angin misalnya, dia tak dapat hasilkan (padi). Kita tahu bahawa satu keluarga empat orang dia perlukan lebih kurang 20 kilogram beras, 10 kilogram RM25 atau RM26. Jika beras 20 kilogram berharga kira-kira RM50 atau RM52. Sekurang-kurangnya RM200 yang kita katakan tadi kalau terpaksa beli beras cukup untuk keluarga.

“Saya kata safety net ini bukan bermakna RM200 itu menjadikan dia kaya, tetapi sekurang-kurangnya kita katakan ihsan itu ada. Sekurang-kurangnya ini permulaan kepada satu bentuk safety net ataupun jaringan ke­selamatan diberikan kepada penanam padi dalam negara kita,” katanya.