Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keluasan kebanyakan tanah pesawah yang kurang daripada dua hektar menyebabkan golongan itu terus hidup dalam kemiskinan meskipun dibantu kerajaan melalui pelbagai pemberian subsidi.

Menurut beliau, menerusi estet padi, pengurusan sawah akan dilakukan secara profesional seperti mana ladang-ladang kelapa sawit dan getah yang dikendalikan oleh syarikat besar.

"Kita berhasrat untuk membuat ladang besar (sawah) yang diurus oleh pakar pertanian mengikut cara moden dan penggunaan jentera.

"Sebahagian tanah (pesawah) itu pula akan digunakan untuk penanaman buah-buahan atau sayur-sayuran agar mereka ini memperoleh pendapatan berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 dengan tema Pembangunan Industri Padi Beras Secara Komersial di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri meminta supaya ahli keluarga pesawah turut terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS) melalui penghasilan pelbagai jenis anyaman seperti alat menangkap ikan tradisional untuk menambah pendapatan.

Katanya, produk-produk tersebut mempunyai harga yang baik khususnya untuk dijual kepada para pelancong asing.

"Kita boleh memperkenalkan industri IKS ini kepada pesawah agar mereka memperoleh pendapatan sepanjang tahun dan tidak terhad kepada musim menuai padi sahaja," kata beliau. - UTUSAN ONLINE