Tajuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, soko­ngan itu bagi memastikan hasrat DAP untuk merealisasikan konsep Malaysian Malaysia tidak tercapai sekali gus memastikan kelangsu­ngan hidup kaum Melayu kekal terjamin mengikut Perlembagaan.

“Kita tidak mahu ada segelintir pesara yang mendapat begitu ba­nyak manfaat daripada kerajaan, namun bersikap tidak mengenang budi dengan memberi sokongan kepada Pakatan Harapan diketuai DAP.

“Saya hairan mengapa terdapat pesara menyokong DAP sedangkan parti itu tidak pernah memberi sebarang bantuan kepada mereka. Kalau dari dahulu pun mereka tidak dipedulikan, adakah apabila DAP memerintah nasib pesara ini akan terbela?,” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Persaraan anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini malam tadi.

Dalam majlis itu, seramai 223 anggota LPP menerima Anugerah Khidmat Cemerlang.

Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, golongan pesara perlu sedar bahawa pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan hanya menjadi boneka DAP untuk me­raih undi daripada rakyat.

Katanya, situasi tersebut jelas dilakukan oleh DAP pada 2008 iaitu semasa Perak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat selama 11 bulan.

“Menteri Besar Perak yang dipi­lih Pakatan Rakyat ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ternyata menjadi kuda tunggangan DAP dan tidak mampu membuat keputusan sendiri,” katanya.