Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd.Harun berkata, program itu adalah program khas yang memberi keutamaan dan kepentingan kepada usahawan wanita yang berkonsepkan mentor mentee.

“Di bawah program HERS FUND ini, sebagai permulaannya, seramai lima orang usahawan wanita berjaya daripada kalangan peserta Skim Pembiayaan Ekonomi Desa SPED 2 akan membantu 40 dan lebih ramai lagi usahawan wanita mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Sebanyak RM20 juta diperuntukkan pada tahun ini bagi melaksanakan program HERS ini yang perlaksanaannya selaras dengan Pelan Harapan Pembangunan Luar Bandar iaitu Teras Lima : Memperkasa Wanita Luar Bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Utara 1 di Midtown Perda, di sini hari ini.

Seramai 218 pempamer menyertai KUD Zon Utara 1 antaranya terdiri daripada 162 ruang niaga usahawan desa, dua ruang niaga pembiayaan, 10 ruang niaga makanan dan minuman, 10 ruang niaga pempamer mesin dan lain-lain pempamer.

Sepanjang tempoh empat hari KUD berlangsung bermula Jumaat lalu, pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kapasiti usahawan telah dijalankan merangkumi aktiviti seperti promosi produk, perkongsian pengalaman ushawan dan lain-lain. - UTUSAN ONLINE