Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Datuk Hasnan Hassan berkata, statistik pada tahun lalu itu juga menunjukkan golongan pribumi itu banyak bergantung kepada kutipan hasil dividen daripada agensi seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Felcra Bhd. (Felcra) termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), tanpa melibatkan diri dalam tanaman sawit mahupun getah.

Sehubungan itu, katanya, jaba­tan memerlukan penyertaan mereka seperti menjadi pengutip buah sawit termasuk penyelenggaraan ladang yang boleh menghasilkan pendapatan tambahan sebanyak RM1,200 sebulan.

“Melalui kursus ini, kita hendak membuka minda supaya masyarakat Orang Asli tidak hanya menyaksikan pembangunan di kawasan mereka tetapi turut sama menyertainya supaya lebih bersepadu pengurusan ladangnya termasuk penglibatan golongan belia.

“Oleh itu, kita mengunjurkan petunjuk prestasi utama (KPI) supaya produktiviti sawit misalnya boleh mencecah sekurang-kurangnya satu tan setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Peningkatan Profesionalisme Batin Orang Asli Negeri Perak di sini hari ini yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Dalam pada itu, Hasnan berkata, matlamat utama Jakoa antara lain bertujuan meningkatkan keupayaan dalam kalangan masyarakat Orang Asli supaya dapat membangunkan tanah mereka sekali gus menceburkan diri sebagai seorang usahawan serta memiliki koperasi sendiri.

Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 486 usahawan masyarakat Orang Asli dilahirkan, justeru lebih banyak peluang harus diberikan kepada mereka supaya lebih berjaya serta tidak lagi hanya berniaga secara kecil-kecilan.

“Di Perak, kita mempunyai kira-kira 150 tok batin melibatkan 250 buah kampung. Namun, di Semenanjung Malaysia, kita ada 852 perkampungan Orang Asli dan Perak mempunyai bilangan masyarakatnya yang kedua terbesar selepas Pahang,” katanya.