Hasil tinjauan Utusan Malaysia hari ini, khemah-khemah telah mula dipasang di sekitar kawasan Presint 2 termasuk pemasangan taman permainan berasaskan belon sedang rancak dilakukan.

Selan itu dianggarkan 100 gerai pelbagai jenis  makanan turut terlibat sepanjang acara empat hari yang akan berakhir Ahad ini.

Sebelum ini media melaporkan, acara yang memasuki edisi ke-10 itu dianjurkan bersama oleh AKA Balloon Sdn. Bhd. bersama Perbadanan Putrajaya (PPj).

Acara utama dalam kalendar PPj bagi tahun ini itu dijangka lebih meriah dengan penyertaan barisan pengendali belon udara panas terkemuka dunia selain penganjuran beberapa aktiviti sampingan.

Dianggarkan seramai 200,000 pengunjung akan menghadiri acara ini untuk melihat sendiri keunikan 20 belon udara panas yang direka dalam pelbagai bentuk antaranya Taco the Octopos dari Jepun; Princess Nelly (Belgium); Clown Bruno (Slovakia); Pink Gnome (Sepanyol) dan Black Bear (Taiwan).

Kesemua belon tersebut akan dipamerkan di Pink Zone bermula dari jam 7 petang hingga 10 malam setiap hari manakala kawasan Field Access and Night Glow Access disediakan bagi membolehkan pengunjung melihat secara dekat belon udara panas. - UTUSAN ONLINE.