Maka tidak hairan jika masalah rakan sebilik berdengkur, merokok, kawalan pendingin hawa dan sebagainya adalah antara aduan yang sering diterima Unit Kaunseling Tabung Haji di Tanah Suci.

Pengurus Kaunseling, Fauziah Ahmad berkata, unit tersebut mempunyai peranan yang besar bagi memastikan persiapan mental jemaah haji dalam keadaan baik kerana mereka akan berada di Tanah Suci dalam tempoh yang lama.

Beliau berkata, unit itu mempunyai tujuh kaunselor bertauliah yang mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas dalam mengendalikan pelbagai jenis kes kesihatan mental.

"Selain rakan sebilik, masalah hubungan pasangan suami isteri dan anak beranak juga antara isu yang banyak jadi aduan jemaah," katanya dalam sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Katanya, ada juga kes suami tidak pulang ke penginapan beberapa hari selepas berselisih dengan isteri yang membimbangkan keluarga, rakan-rakan dan Tabung Haji.

"Bagaimanapun, kebanyakan kes tersebut berjaya diselesaikan dengan baik selepas masing-masing diberikan nasihat sama ada dalam bentuk kumpulan atau individu," tambahnya.

Katanya, masalah lebih teruk akan dihadapi oleh mereka yang kehilangan keluarga, sama ada yang sama-sama datang ke Tanah Suci atau keluarga di tanah air.

"Setakat ini, kami mengendalikan 39 kes dan 35 daripadanya adalah kes yang berlaku di Mekah," katanya.

Beliau berkata, unit itu juga mempunyai program lawatan bilik ke bilik oleh kaunselor untuk mengesan tanda-tanda awal kemungkinan jemaah menghadapi tekanan psikologi.

Katanya, jika kes memerlukan rawatan perubatan, pesakit akan dihantar ke pusat rawatan Tabung Haji di Syisyah di sini.

Bagi jemaah, Faridah Mohd. Nor, lawatan dari kaunselor dari bilik ke bilik memang boleh membantu bagi mereka yang bermasalah untuk meluahkan perasaan. - UTUSAN ONLINE