TENGKU AZIZ RAJA ABDULLAH

Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, jika kurang bersedia, ramai jemaah akan terkena kejutan budaya dengan suasana persekitaran dan cuaca yang menganggu ibadat mereka.

"Ibadat haji sememangnya mempunyai banyak ujian dan cabaran sehingga kadang-kadang jemaah terlupa terus apa yang dipelajari sebelum ini sebaik sahaja melihat Kaabah," katanya.

Beliau berkata, selain daripada melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai perkara rukun dan wajib haji, jemaah juga perlu sudah bersedia melakukan pelbagai amalan sunat.

"Berzikir, melakukan solat-solat sunat seperti tahajud, dhuha, hajat, witir dan sebagainya merupakan amalan yang perlu banyak dilaksanakan ketika berada di tanah suci Madinah dan Mekah," katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.

Tengku Aziz berkata, berdasarkan hadis, beribadat di tanah suci menjanjikan ganjaran pahala sebanyak 100,000 kali ganda di Masjidilharam, 1,000 kali ganda di Masjid Nawawi dan 500 kali ganda di Masjid Al-Aqsa berbanding masjid biasa.

Beliau berkata, amalan-amalan tersebut merupakan senjata terpenting untuk jemaah mendapat rahmat Allah dan berjaya mengharungi segala ujian selepas berpeluang menjadi tetamunya.

"Jemaah yang datang ke sini adalah pilihan Allah, maka apabila telah dipilih kita seharusnya sangat bersyukur dengan berusaha melakukan pelbagai ibadat dan sentiasa memohon keampunan," tambahnya.

Bagaimanapun, selepas berusaha, perkara yang paling utama ialah bertawakal dan banyak berdoa supaya dipermudahkan segala urusan ketika di tanah suci.

Ditanya bagaimana mendapat haji mabrur, Tengku Aziz berkata, tanda-tanda orang mendapat haji mabrur dapat dilihat selepas mereka pulang ke tanah air.

"Mereka akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini dan yang telah baik akan menjadi bertambah baik," tambahnya. - UTUSAN ONLINE