Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mempunyai senarai individu atau syarikat yang terlibat dalam kegiatan tersebut.

Beliau berkata, golongan itu boleh melaksanakan 'tanggungjawab' mereka menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang dilancarkan bermula November tahun lalu hingga Jun ini.

"Kita harap mereka yang mendapatkan keuntungan melalui aktiviti haram seperti pembalakan haram atau penjualan ikan haram kepada nelayan asing di tengah laut dapat tampil menyertai program ini.

“Kita ada banyak maklumat yang disalurkan oleh agensi kerajaan yang lain dan maklumat dari luar negara bagaimanapun mereka yang terbabit dengan aktiviti haram tidak perlu risau dengan tindakan undang-undang kerana maklumat mereka akan dirahsiakan dan pelaporan mereka tidak akan dikongsi dengan agensi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Seminar PKPS dan Isu Percukaian Perniagaan Atas Talian di Dewan Perniagaan China Kelantan, di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Ong Yap Heng dan Presiden Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Seah Siew Yun.

Sabin berkata, pihaknya turut mengingatkan peniaga di sempadan Malaysia - Thailand supaya membayar cukai dan paling mudah dengan menyertai PKPS.

"Di Kelantan golongan yang terlibat dengan perniagaan di sempadan amat ramai dan jika selepas program ini tamat, kita dapati aset mereka tinggi tetapi membuat pelaporan cukai maka penalti lebih tinggi akan dikenakan.

"PKPS amat mudah, kita tidak akan membuat siasatan yang mendalam dan mereka tidak perlu melalui siasatan yang panjang. Ini akan membantu mereka untuk membuat pelaporan cukai dan membantu mencapai hasrat kerajaan," katanya.

Program tersebut menyasarkan sejuta pembayar cukai dengan sasaran kutipan sebanyak RM10 bilion sehingga 30 Jun ini. - UTUSAN ONLINE