Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee berkata, fasa pertama skim ini di Durian Tunggal menawarkan sebanyak 104 unit rumah berharga RM180,000 akan dibuka untuk permohonan.

Menurut beliau, skim perumahan khas ini merupakan inisiatif Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri dengan kerjasama Lembaga Perumahan Melaka (LPM) merupakan skim perumahan belia yang pertama di negara ini.

“Menerusi skim ini, belia yang berkelayakan boleh menikmati subsidi pembelian rumah 10 peratus daripada harga pasaran.

“Subsidi tersebut serta bayaran guaman dan duti setem akan dibiayai oleh pihak pemaju,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Chee Yee, antara syarat-syarat yang dikenakan adalah pemohon perlu berusia antara 18 hingga 35 tahun; pendapatan isi rumah bulanan bawah RM8,000 dan warga Melaka atau pemastautin tetap selama lima tahun ke atas di negeri ini.

Katanya, skim perumahan ini mampu membantu golongan belia membeli rumah dan pada masa yang sama tidak membawa kesan negatif terhadap pasaran perumahan negeri.

Borang permohonan boleh diperolehi di JBS Melaka, LPM Melaka dan pihak pemaju. - UTUSAN ONLINE