Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan penaung Permata Negara berkata, OCIS telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan lagi dengan Permata Negara bagi memperhalusi usahasama yang boleh diadakan bagi tujuan tersebut.

“Lebih banyak kerja asas perlu dilakukan dalam mengenal pasti apa yang boleh dilakukan untuk mencapai tujuan tersebut,” katanya kepada pemberita Malaysia di OCIS, kira-kira 83 kilometer dari sini, semalam.

Rosmah dalam rangka lawatan seminggu ke United Kingdom, bermula Khamis lepas berkata, kerjasama yang dibincang itu bukan sahaja terhad kepada pelajar program Permata Pintar dan Permata Insan tetapi juga melibatkan pelajar lain serta bersifat global.

“Kami juga turut berbincang mengenai isu-isu berkaitan wanita Islam, terutama isu wanita dalam bidang kepimpinan,” katanya.

Rosmah yang diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK), Datuk Ahmad Rasidi Hazizi disambut Pe­ngarah OCIS, Dr. Farhan Nizami.

Yang turut hadir Felo Pengajian Islam di OCIS, Datuk Dr. Muhammad Afifi al-Akiti dan perunding kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Prof. Emerita Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Rosmah juga akan mengadakan perbincangan dengan University of Cambridge, Isnin ini bagi mewujudkan kerjasama dalam memba­ngunkan Program Permata Pintar dan Permata Insan. – BERNAMA