Malah satu pertemuan telah diadakan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie, minggu lalu.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ahmad Amizal yang memaklumkan telah mengadakan pertemuan itu di Kelantan.

Katanya, Perlis begitu berminat mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan itu bagi memperkuatkan skuad Singa Utara dalam mengharungi saingan Liga Perdana musim depan.

“Dalam rundingan itu, kita mendapat respons positif daripada Piya yang juga kelihatan berminat menyertai Perlis. Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar, Piya akan bersama kita.

“Pengalaman dan keupayaan Piya mampu memperkuatkan skuad Perlis,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas jeneral padang TRW itu menafikan dia akan berhijrah ke Terengganu FC 1 (TFC 1) musim depan.

Anak kelahiran Kampung Atas Paloh, Kota Bharu itu sebaliknya menegaskan berita penghijrahannya ke TFC 1 musim depan hanyalah khabar angin sahaja.

Piya merupakan antara tunjang utama Kelantan meraih kejuaraan trebel musim 2012 sekali gus melakar sejarah baharu dalam sukan bola sepak di negeri itu.

Sementara itu, Ahmad Amizal berkata, selain Piya, pertahanan pasukan Kelantan, Amirrizduan Taj Tajuddin juga menjadi sasaran Perlis musim depan.

“Kita juga mengadakan perbincangan dengan Amirrizduan bagi mendapatkan khidmatnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE