S. Subramaniam

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, tempoh itu adalah seperti mana diperuntukkan di bawah Perjanjian Dagangan Berkaitan Hak Intelektual (TRIPS), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Akta Paten 1983.

Namun, katanya, tempoh paten perlu diselaraskan sekiranya terdapat kelewatan dalam memproses paten oleh Perbadanan Harta Intelek atau kelewatan dalam pendaftaran ubat oleh pihak berkuasa kawalan dadah yang menyebabkan pengurangan tempoh paten yang efektif.

“Berdasarkan amalan sedia ada, Malaysia mempunyai rekod pemberian kelulusan pemasaran ubat-ubatan yang efisien iaitu dalam tempoh 245 hari bekerja dan dengan itu tidak timbul isu keperluan untuk memberi pelarasan tempoh paten.

“Sebaik sahaja tempoh paten tamat, ubat generik boleh dipasarkan,” katanya semasa menggulung isu penyertaan Malaysia dalam TPPA di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tambah Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat, selepas rundingan Malaysia dengan negara-negara TPPA, negara kini berjaya menyediakan satu sistem notifikasi yang tidak membebankan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Melalui sistem pelaksanaan sistem notifikasi ini, syarikat inovator perlu mengisytiharkan semua paten yang ada dan berkaitan dengan produk apabila mengemukakan permohonan untuk pendaftaran produk.

“Walaupun Amerika Syarikat mengkehendaki Malaysia untuk mengamalkan sistem hard patent linkage, selepas rundingan Malaysia berjaya menyediakan satu sistem notifikasi,” ujarnya.

Menurut Subramaniam, TPPA tidak menghalang negara mengambil langkah-langkah untuk melindungi kepentingan kesihatan awam.

Katanya, setiap negara mempunyai hak untuk menentukan keadaan darurat atau keadaan lain yang mendesak dan membawa kepada krisis kesihatan awam seperti HIV serta AIDS, tibi, malaria dan lain-lain lagi.

“Dalam hal ini, jika terdapat ubat penyelamat nyawa yang mahal, kerajaan boleh menggunakan peruntukan di bawah lesen wajib dan hak kerajaan untuk mengilang atau mengimport ubat generik bagi memastikan akses kepada ubat pada harga yang lebih murah,” ujarnya.