Operasi selama empat jam bermula pukul 10 pagi itu melibatkan sejumlah 40 anggota penguat kuasa Perkeso dan lapan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) negeri.

Pemeriksaan diadakan mengikut beberapa kawasan sasaran antaranya di sekitar Ayer Keroh, Bukit Baru dan Bukit Katil.

Pengarah Perkeso Melaka, Fadhilah Hamil berkata, sebanyak 13 notis kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 5 iaitu gagal mendaftar pekerja melibatkan amaun berjumlah RM7,500 manakala lima lagi atas kesalahan tidak mendaftarkan perusahaan mengikut Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969.

Beliau berkata, jumlah kompaun yang dikeluarkan itu meningkat berbanding purata dalam setiap operasi dijalankan pada tahun lalu iaitu 16 kompaun.

 

“Perkeso telah memberi tempoh sebulan kepada agensi-agensi perusahaan yang tidak mematuhi syarat-syarat AKSP ini sejak awal tahun ini untuk berbuat demikian, namun terdapat dalam kalangan mereka tidak mengendahkan peringatan itu.

“Untuk itu hari ini kita bertindak tegas dengan mengeluarkan kompaun terhadap 18 syarikat dan premis perusahaan yang melakukan kesalahan di bawah akta tersebut dengan jumlah keseluruhan kompaun sebanyak RM13, 500,” katanya dalam sidang akhbar Op Kesan bersama KWSP di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir menyertai operasi itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G. Saminathan. - UTUSAN ONLINE