Begitu titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika berkenan melancarkan buku 'Striving For Inclusive Development: From Pangkor To A Modern Malaysia State' hasil tulisan baginda di ibu negara hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, dari zaman kanak-kanak hingga ke hari ini, baginda telah melalui pengalaman bagaimana negara ini berkembang dan moden.

"Beta telah menyaksikan bagaimana nasib rakyat yang berbolak-balik dalam kitaran ekonomi yang sehingga kini masih dan bagaimana mereka secara umumnya berubah dari kehidupan berasaskan pertanian kepada kehidupan di bandar yang makmur. Sesetengah cabaran itu kekal bagaimanapun muncul yang baharu.

"Buku beta mencatatkan sejarah ekonomi negara kita yang menarik sepanjang 150 tahun yang lalu. Ia memperlihatkan ketabahan negara, perubahan institusi, dan sudah tentu 'striving for inclusive develoment'. Malaysia pada hari ini adalah kerana sumbangan kolektif yang telah diberikan oleh semua komuniti, " titah baginda.

Yang turut berangkat ke majlis tersebut, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut bertitah, baginda telah mengambil masa hampir dua dekad untuk menghasilkan buku keduanya ini yang merangkumi lebih 500 muka surat.

"Untuk cuba membuka kunci 'rahsia' sejarah, beta telah menjalankan sejumlah penyelidikan, menghabiskan masa dalam arkib yang berdebu dan perpustakaan yang kurang terang.

"Beta juga telah berbincang dengan para cendekiawan dan sejarawan ekonomi dan berunding dengan pakar dalam banyak bidang, terdapat banyak yang perlu dilihat juga disemak," titah baginda lagi. - UTUSAN ONLINE