Abdul Halim

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Abdul Halim Mansor berkata, langkah kerajaan dalam menurunkan kadar cukai sebanyak dua peratus dapat membantu golongan pertengahan atau M40 meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat antara RM300 hingga RM1,000 sekali gus merapatkan lagi jurang pendapatan di negara ini.

Menurutnya lagi, pengumuman pengurangan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak dua peratus bagi ganjaran pendapatan bercukai antara RM20,000 hingga RM70,000 adalah peruntukan yang tidak pernah dijangka akan disenaraikan dalam intipati Bajet 2018.

“Bajet 2018 membuktikan kerajaan bersikap adil membela nasib golongan berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana walaupun berdepan kepayahan ekonomi global yang tidak menentu.

“Kerajaan juga sangat baik hati menaikkan elaun OKU yang be­kerja, tidak bekerja dan peniaga OKU sebanyak RM50 sebulan sehingga manfaatkan lebih 163 ribu orang dengan peruntukan RM100 juta ,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Bertemakan Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Bajet 2018 semalam berkata, bajet kali ini menyaksikan pertambahan sebanyak RM19.45 billion berbanding peruntukan RM260.8 billion pada Bajet 2017.

MTUC berharap kerajaan terus membantu meringankan beban rakyat dengan peruntukan yang adil dan saksama tanpa mengira fahaman politik untuk menuju kearah negara berpendapatan tinggi.