Malah, statistik itu turut menunjukkan yang jumlah perkahwinan bawah umur dalam kalangan kanak-kanak perempuan bukan Islam lebih tinggi berbanding kanak-kanak lelaki bukan Islam.

Di bawah Undang-undang sivil, masyarakat bukan Islam boleh melangsungkan perkahwinan seawal usia 18 tahun tetapi bagi remaja perempuan yang berumur 16 tahun, mereka dibenarkan untuk mendirikan rumah tangga dengan syarat mendapat kebenaran Ketua Menteri ataupun Menteri Besar di negeri masing-masing.

Mengulas mengenai statistik tersebut, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto berkata, peningkatan perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat bukan Islam dilihat amat membimbangkan.

“Kes perkahwinan bawah umur dilihat terlalu banyak ketika ini. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan ibu bapa dan anak-anak mereka bersetuju terhadap perkahwinan bawah umur,” katanya ringkas.

Kasthuriraani dalam jawapan balas bertulis di Dewan Rakyat pada Julai lalu mendedahkan yang Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaporkan sebanyak 5,362 perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat Islam direkodkan dalam tempoh Januari 2013 hingga Disember 2017.

Dalam tempoh sama, statistik daripada JPN menunjukkan terdapat 2,755 perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat bukan Islam. - UTUSAN ONLINE