Pegawai Eksekutif Biro Islamiyat Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ahmad Nu’man Mazlan berkata, peruntukan undang-undang telah jelas mewajibkan pusat tahfiz swasta perlu berdaftar di bawah jabatan agama Islam di setiap negeri sebelum beroperasi.

Namun katanya, mungkin disebabkan kurangnya penguatkuasaan, membuka peluang pengendali pusat tahfiz yang tidak amanah mengambil kesempatan meraih keuntungan segera sehingga sanggup membelakangkan peraturan dan beroperasi secara haram.

“Kewujudan pusat tahfiz tanpa lesen dan tidak berdaftar seharusnya tidak dipandang dari aspek negatif saja, namun perlu difikir juga berkenaan lambakan pusat itu wujud menandakan terdapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat yang menginginkan anak mereka dididik berpandukan al-Quran.

“Selain penguatkuasaan, kerjasama agensi bagi memudahkan lagi proses pendaftaran pusat tahfiz sedia ada itu amat bagus malah disambut baik jika pihak berkuasa dapat membantu dan membimbing dalam urusan berkaitan pendaftaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Ahmah Nu’man mengulas kenyataan Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berhubung kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bagi memastikan pendaftaran pusat tahfiz sedia ada berjalan lancar.

Menurutnya, pengumuman itu sangat dialu-alukan memandangkan pusat tahfiz juga telah memainkan peranan besar dalam melahirkan tokoh-tokoh dan ilmuwan Islam di Malaysia.

“Selain isu pendaftaran pihak berwajib perlu membuat kajian mendalam dan berbincang dengan pengusaha pusat tahfiz terlibat bagi memahami apakah halangan mereka tidak berdaftar. Soal peruntukan kerajaan untuk mengurus isu pusat tahfiz dan hal ehwal Islam, perlu diberi perhatian, selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang termaktub Islam adalah agama rasmi Persekutuan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE