Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, justeru, tidak perlu dibangkitkan sebarang isu berhubung pertemuan tersebut kerana itu adalah perkara biasa.

Beliau bagaimanapun berkata, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein tidak mewakili parti itu kerana beliau hadir atas kapasiti peribadi selepas dipanggil oleh Dr. Mahathir.

"Kita sudah buat keputusan kalau ada apa-apa benda bersifat rasmi Majlis Tertinggi memberi mandat kepada Presiden. Selain daripada Presiden dianggap sebagai atas sifat peribadi masing-masing.

"Kita sudah semak dengan GPS dan Pas (tujuan pertemuan), barang kali Tun (Dr. Mahathir) hendak bertanya khabar, nak apa-apa tetapi itu bukan perjumpaan formal atau perjumpaan wakil rasmi parti, mungkin Tun nak tinjau dan dapatkan pandangan.

"Sebelum ini pun kita berjumpa dengan Perdana Menteri, wakil-wakil rakyat pun jumpa dari semasa ke semasa. Tidak ada isu pertemuan ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta timbalannya, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md. Alwi Che Ahmad dan Pengerusi MCA negeri, Chua Hock Kuan.

Semalam, Hishamuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Semberong mengakui bertemu dengan Dr. Mahathir pada Selasa lalu namun menyifatkan pertemuan itu adalah perkara biasa dan bukan sesuatu yang unik.

Hishamuddin dilaporkan berkata, pertemuan itu bertujuan memikirkan masa depan negara dan rakyat terutama dalam usaha pengukuhan ekonomi serta perpaduan.

Terdahulu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengesahkan beberapa pemimpin pembangkang termasuk daripada UMNO, Pas dan GPS telah bertemu beliau. - UTUSAN ONLINE