Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, poster yang hanya menggunakan tulisan bahasa Inggeris dan bahasa Cina itu tidak menggambarkan masyarakat majmuk dan kepelbagaian etnik dan budaya.

Menurutnya, ini jelas menunjukkan kerajaan Perak sengaja mengabaikan kepelbagaian budaya dan etnik dengan memberikan tumpuan kepada kaum Cina sahaja.

“Rakyat Perak melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan kerajaan negeri Perak yang sengaja mengabaikan bahasa kebangsaan.

“Alasan kononnya sengaja tidak meletakkan bahasa Melayu kerana ia akan menjadi poster tersebut terlalu banyak perkataan dan ia tidak kelihatan menarik. Alasan itu tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd. Zolkafly turut mempertikaikan slogan yang digunakan dalam poster tersebut iaitu ‘Perak Where The Story Begin’.

“Perkataan ini seolah-olah ingin menceritakan kisah penghijrahan dan kejayaan kaum Cina dan kejayaan parti Dap di Perak yang berjaya memerintah negeri ini buat kali kedua,” katanya. - UTUSAN ONLINE