Beliau berpendapat, salah faham itu perlu diperbetulkan, sebagaimana kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh mengenai peranan anggota ATM sebelum ini.

Chin Tong malah menjelaskan beliau telah menulis panjang lebar tentang peranan ATM dan bagaimana wujudnya persepsi yang salah berkenaan peranan pasukan pertahanan negara itu, serta salah faham orang ramai tentang tugas ketenteraan sebelum ini.

"Pada masa aman, angkatan tentera mempunyai peranan membantu pelbagai agensi tempatan dan misi-misi antarabangsa. Tentera adalah langkah dan pilihan terakhir bagi negara.

"Memetik pepatah Latin, ‘si vis pacem, parabellum’; jika mahu keamanan, bersiap sedia untuk peperangan. Semua pihak harus faham konsep kesiapsiagaan angkatan tentera sebagai pilihan terakhir," tulis beliau dalam akaun Facebook hari ini.

Kenyataan Chin Tong itu sebagai respons segera terhadap tulisan Yew Yin dalam laman blog kendaliannya yang menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat pekerja yang tidak diperlukan.

Antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja.

Memetik laporan Air Times, Yew Yin mendakwa majoriti anggota tentera tidak pernah melepaskan tembakan melainkan menembak papan sasaran dan sepatutnya mereka digunakan untuk mengganti pekerja asing yang diupah di ladang Felda.

Tulisan Yew Yin tersebut menjadi tular dalam media sosial dan membangkitkan kemarahan banyak pihak termasuklah warga maya.

Walau bagaimanapun, tinjauan Utusan Online mendapati artikel yang dimuat naik Yew Yin itu telah dipadam malam ini.

Dalam pada itu, Chin Tong menyeru seluruh rakyat tanpa mengira latar keturunan dan kelas ekonomi, sama ada awam atau tentera untuk berusaha memahami peranan serta pengorbanan ATM serta berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

"Sempena bulan kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama menghayati pengorbanan angkatan tentera demi mengekalkan keamanan, serta mengisi kemerdekaan yang kita kecapi. Marilah kita memberi sokongan penuh kepada Angkatan Tentera Malaysia," ujar beliau. - UTUSAN ONLINE