Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Ir. Mohamad Fazli Mohamad Salleh mempersoalkan apakah sudah tidak ada kumpulan dan institusi Islam yang mampu memberi pandangan berkaitan pendidikan Islam di sekolah.

“Adakah golongan bukan Islam tetsebut memahami asas dan matlamat pendidikan Islam di sekolah sehingga pandangan mereka diperlukan menentukan hala tuju pendidikan Islam di sekolah.

“Langkah yang diambil kementerian ini bukan sahaja tidak bijak, malah boleh dilihat sebagai tindakan memperlekehkan institusi serta kumpulan Islam itu sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Katanya, usaha tersebut seolah-olah ingin menjadikan pendidikan Islam di sekolah lebih liberal mengikut acuan semua agama dan kaum.

Dalam pada itu beliau turut megecam tindakan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang memadam status Facebook setelah dikecam hebat warganet sebagai tidak wajar.

Katanya, Jika tiada sebarang agenda jahat yang tersembunyi, Nie Ching sepatutnya memberi penjelasan, bukan memadam status Facebooknya.

“Kami memandang serius isu ini dan menggesa pihak kementerian memberikan penjelasan mengapa tinjauan ini dibuka kepada kumpulan bukan Islam.

“Kami juga mendesak agar pihak kementerian menarik balik keputusan tersebut yang lebih merupakan satu langkah sumbang,” katanya. - UTUSAN ONLINE