Ketua Pegawai Eksekutif Touch n Go Sdn. Bhd. dan TNG Digital Sdn. Bhd., Syahrunizam Samsudin berkata, warga Malaysia kini mempunyai pelbagai pilihan dan negara mempunyai lebih banyak penyedia e-dompetnya berbanding ekonomi kedua terbesar di dunia, China.

“Oleh itu, pengguna akan keliru dengan tawaran e-dompet yang sangat banyak. Akhirnya, pengguna akan memilih penyedia e-dompet yang memberi lebih nilai dan faedah,” katanya kepada Bernama di luar program persidangan Wild Digital Asia 2019 di sini.

Bagaimanapun, Syahrunizam berkata, pasaran e-dompet turut bergantung kepada demografi dan kumpulan umur dengan mereka yang berumur antara 18 dan 25 tahun mempunyai purata lima e-dompet untuk memaksimumkan faedah manakala mereka yang berusia melebihi 35 tahun, cenderung hanya kepada satu atau dua e-dompet sahaja kerana lebih mudah.

Beliau berkata, penyedia perkhidmatan juga perlu menaik taraf produk mereka dengan terknologi terkini kerana pengguna tempatan semakin cekap dalam teknologi.

Katanya, e-dompet TNG Digital, Touch ‘n Go, akan terus berinovasi dan mewujudkan lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk berurusan tanpa tunai.

“Touch ‘n Go dan Touch ‘n Go Digital akan terus berinovasi dan mewujudkan lebih banyak urus niaga tanpa tunai untuk rakyat Malaysia terutama dalam pengangkutan dan gaya hidup.

“Kami lebih kepada keperluan domestik dan kami kenal rakyat Malaysia dengan baik selama 22 tahun dan kini kami mahu menggunakan teknologi data untuk mewujudkan lebih banyak kemungkinan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Touch ‘n Go telah bersama rakyat Malaysia lebih dua dekad apabila kad Touch ‘n Go pertama kali diperkenalkan kepada pemandu, menjadikannya lebih mudah dan cepat untuk membayar tol di lebuh raya.

Prosesnya mudah, dengan hanya sentuhan kad ke atas mesin pembaca, membolehkan pelanggan membuat pembayaran. - BERNAMA