Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, angka tersebut dijangka meningkat sehingga 50,000 pesakit pada tahun depan dengan kesedaran orang ramai mendapatkan rawatan, hasil jaringan komprehensif perkhidmatan dialisis di Malaysia setanding kebanyakan negara maju.

“Kebanyakan penyakit buah pinggang ini berasal dari kencing manis dan darah tinggi, jadi saya menyeru kepada masyarakat supaya mempraktikkan gaya hidup sihat supaya kita boleh mengelakkan penyakit ini.

“Kita juga tahu bahawa mereka yang menghidap pada peringkat awal, jika mengamalkan pemakanan sesuai dan menerima rawatan bertepatan, boleh menangguhkan kemerosotan penyakit buah pinggang sebanyak 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Boon Chye berkata, menerusi program Skim Peduli Kesihatan (Peka B40) yang bakal dilancarkan pada bulan depan, mereka yang layak mendaftar perlu mengambil kesempatan dengan melakukan saringan kesihatan di klinik-klinik berdaftar.

Menurut beliau, saringan kesihatan secara percuma itu bukan sahaja meliputi fungsi buah pinggang, tetapi juga pemeriksaan fizikal, darah tinggi, kencing manis, kolesterol serta penilaian kesihatan mental.

“Di bawah program ini, individu yang layak ialah mereka yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang berumur 50 tahun dan ke atas.

“Dalam senarai, yang layak (terdapat) lebih daripada tiga juta (orang) tetapi pada peringkat awal, kita peruntukkan sebanyak RM100 juta untuk 800,000 peserta,” katanya. - UTUSAN ONLINE