Menurutnya, buat masa ini nelayan pantai menghadapi kesukaran untuk meningkatkan hasil tangkapan kerana kekurangan modal untuk membeli bot dan peralatan moden.

Beliau berkata, model konsortium yang bermatlamatkan usaha bagi membantu para nelayan untuk mendapatkan bot serta peralatan dan teknologi moden yang akan dibekalkan oleh pelabur, masih di peringkat cadangan.

“Melalui konsortium itu, kita akan bagi segala kemudahan untuk menangkap ikan dan sebahagian hasil jualan ikan akan mereka nikmati manakala sebahagian lagi akan dapat dinikmati pihak yang melabur,” kata Salahuddin.

“Oleh itu, kedua-dua pihak akan mendapat keuntungan dengan model yang kita sedang fikirkan ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Dokumen Pengembangan Perikanan (DPP) Jabatan Perikanan Malaysia di sini hari ini.

DPP mengandungi Pelan Strategik Pengembangan Perikanan 2018-2030; Metadologi Pengembangan: Integrasi Pengembangan Perikanan; Manual Pengembangan Perikanan; Kit Perikanan; Dokumen Pemantauan dan Penilaian; Modul Latihan Pengembangan dan myKomuniti Perikanan.

DPP itu akan diterapkan kepada kakitangan barisan hadapan Jabatan Perikanan melalui siri taklimat yang akan dilaksanakan di peringkat negeri.

“Adalah diharapkan (DPP) akan menjadikan sektor perikanan khususnya nelayan pantai dapat mengubah nasib mereka pada masa akan datang,” kata Salahuddin.

Mengenai cadangan penggabungan tanah sawah untuk diusahakan sebagai estet perladangan seperti yang diutarakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, Salahuddin berkata, perkara itu sedang diberi tumpuan oleh kementeriannya.

Beliau berkata, kementerian akan meneliti model pengurusan estet padi yang dilaksanakan Felcra serta melihat contoh-contoh usawahan padi yang berjaya. - BERNAMA